Rabu, 18 Julai 2012

Alamak!! Kekasihku Cemburu Buta


"Setiap perkara yang awak buat, kemana awak nak pergi, tolong bagitahu saya, kalau boleh minta kebenaran saya terlebih dahulu, faham?" 

Beginilah percintaan yang terpaksa dilalui oleh si gadis saat menerima cinta si arjuna yang kaki cemburu. Kata-kata kesat dan makian menjadi makanan harian yang terpaksa ditelan. 


Aduh, hati sabar pun pasti terluka saat menerima kemarahan si kaki cemburu! Cemburu tandanya sayang. Namun cemburu yang keterlaluan, pasti boleh mengundang masalah besar. Jadi kenapa harus mengorbankan diri demi lelaki seperti ini. Adakah itu boleh dikatakan cinta sekiranya si dia memperlakukan anda sesuka hati? Ayuh! Cuba kita singkap cirri-ciri lelaki kaki cemburu. 

Siasat Gerak Geri 

Alahai, di awal perkenalan, anda ditatangnya bagai minyak yang penuh, bahkan segala kemahuan dituruti. Namun sejak kebelakangan ini ada sahaja yang tidak kena dengannya. Kalau boleh si dia cuba mengawal setiap pergerakan anda. Kemana anda pergi, dengan siapa anda bersama dan yang paling penting ada atau tidak lelaki bersama anda akan disiasatnya dengan terperinci. Boleh dikatakan siasatan si dia mengalahkan pihak berkuasa. Anda pada pandangan si dia seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman untuk dijatuhkan. 

Sentiasa Curiga 

Lelaki kaki cemburu akan sentiasa menganggap anda seorang yang curang. Kenapa? Kerana si dia tidak yakin dengan kesetiaan anda. Sukar baginya untuk mempercayai anda. Tambahan lagi, bila mana anda sering diganggu dan kebanyakan daripada mereka pasti akan terpikat dengan anda. Susah bukan? Inilah hakikatnya yang sebenar. Walaupun anda tidak melayan mana-mana lelaki yang cuba mengganggu anda, si dia tetap merasakan yang anda cuba menduakan dirinya. Padahal anda tidak tahu dan bersalah dalam hal ini. Apa yang anda lakukan hanyalah bersabar dan makan hati. 

Panas Baran 

img

Ini merupakan salah satu ciri si kaki cemburu. Kenapa anda perlu tahu tentang ini? Ini kerana anda akan menjadi sebahagian daripada hidupnya. Si dia kalau anda kenali dengan lebih mendalam mempunyai perangai yang suka marah-marah. Salah sedikit sahaja pun tapi kemarahannya bukan main lagi. Sakit hati bukan? Walhal salah anda itu tidak sebesar mana. Anda hanya keluar bersama teman-teman dan sepupu anda sahaja. Kalau anda ingin tahu, individu panas baran ini kalau tiba-tiba si dia naik angin, bumi pun boleh terbalik. Betapa kuat panas barannya sukar dikawal dan akibatnya anda yang akan dimarahinya sepuas hati.

Tidak Pernah Puas

Betul atau tidak si dia individu seperti ini? Sudah tentu anda mengatakan “ya”. Si kaki cemburu tidak pernah berpuas hati dengan orang yang disayanginya. Ada sahaja kesalahan yang dicarinya. Dari sekecil-kecil zarah hinggalah sebesar-besar zarah. Susah betul anda nak puaskan hatinya. Kadangkala anda akan terfikir, kenapa si dia harus begini dan apakah salah anda? Sehinggakan pada satu tahap anda akan berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Namun setiap daripada kata-kata anda tidak diterimanya malah air mata menjadi peneman setia anda setiap hari.

Mengongkong

Aduhai, susahnya hidup, kalau tak ada kekasih anda mencarinya namun bila anda dah dapat lain pula yang jadi. bayangkanlah kehidupan anda saat ini telah berubah secara keseluruhannya. Dahulunya anda bebas ke sana ke mari dengan sesiapa sahaja yang anda suka tapi sekarang tidak lagi. Semua perkara yang anda lakukan perlulah mendapat kebenarannya terlebih dahulu. Anda tidak boleh melakukan sesuatu perkara itu tanpa pengetahuan sidia. Seolah-olah kehidupan anda berada di tangannya. Anda pula harus akur dengan peraturan yang diciptanya. Nak tak nak anda terpaksa ikut. Jadi fikir-fikirkanlah.

Mengambil Kesempatan

Ini memberi maksud si dia mengambil kesempatan di atas kelemahan anda. Memandangkan anda tidak pernah melawan, setiap daripada kata-katanya anda ikuti tanpa ada bantahan menyebabkan si dia menggunakan kesempatan itu. Setiap kali keluar, pasti si dia akan mengambil telefon bimbit anda dengan tujuan untuk melihat mesej-mesej yang boleh mengundang kemarahannya. Malah si dia akan mengambil tahu banyak perkara tentang anda. Si dia bijak bila mana kehormatan anda diragutnya dengan harapan anda tidak boleh lari dan terlepas daripadanya. 


Berwaspadalah jika mempunyai kekasih yang terlalu kuat cemburu. Masa bercinta pun pandai nak marah-marah, lepas kahwin apa pula nanti. Fikir-fikirkan lah... 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan