Rabu, 18 Julai 2012

Alamak!! Kekasihku Cemburu Buta


"Setiap perkara yang awak buat, kemana awak nak pergi, tolong bagitahu saya, kalau boleh minta kebenaran saya terlebih dahulu, faham?" 

Beginilah percintaan yang terpaksa dilalui oleh si gadis saat menerima cinta si arjuna yang kaki cemburu. Kata-kata kesat dan makian menjadi makanan harian yang terpaksa ditelan. 


Aduh, hati sabar pun pasti terluka saat menerima kemarahan si kaki cemburu! Cemburu tandanya sayang. Namun cemburu yang keterlaluan, pasti boleh mengundang masalah besar. Jadi kenapa harus mengorbankan diri demi lelaki seperti ini. Adakah itu boleh dikatakan cinta sekiranya si dia memperlakukan anda sesuka hati? Ayuh! Cuba kita singkap cirri-ciri lelaki kaki cemburu. 

Siasat Gerak Geri 

Alahai, di awal perkenalan, anda ditatangnya bagai minyak yang penuh, bahkan segala kemahuan dituruti. Namun sejak kebelakangan ini ada sahaja yang tidak kena dengannya. Kalau boleh si dia cuba mengawal setiap pergerakan anda. Kemana anda pergi, dengan siapa anda bersama dan yang paling penting ada atau tidak lelaki bersama anda akan disiasatnya dengan terperinci. Boleh dikatakan siasatan si dia mengalahkan pihak berkuasa. Anda pada pandangan si dia seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman untuk dijatuhkan. 

Sentiasa Curiga 

Lelaki kaki cemburu akan sentiasa menganggap anda seorang yang curang. Kenapa? Kerana si dia tidak yakin dengan kesetiaan anda. Sukar baginya untuk mempercayai anda. Tambahan lagi, bila mana anda sering diganggu dan kebanyakan daripada mereka pasti akan terpikat dengan anda. Susah bukan? Inilah hakikatnya yang sebenar. Walaupun anda tidak melayan mana-mana lelaki yang cuba mengganggu anda, si dia tetap merasakan yang anda cuba menduakan dirinya. Padahal anda tidak tahu dan bersalah dalam hal ini. Apa yang anda lakukan hanyalah bersabar dan makan hati. 

Panas Baran 

img

Ini merupakan salah satu ciri si kaki cemburu. Kenapa anda perlu tahu tentang ini? Ini kerana anda akan menjadi sebahagian daripada hidupnya. Si dia kalau anda kenali dengan lebih mendalam mempunyai perangai yang suka marah-marah. Salah sedikit sahaja pun tapi kemarahannya bukan main lagi. Sakit hati bukan? Walhal salah anda itu tidak sebesar mana. Anda hanya keluar bersama teman-teman dan sepupu anda sahaja. Kalau anda ingin tahu, individu panas baran ini kalau tiba-tiba si dia naik angin, bumi pun boleh terbalik. Betapa kuat panas barannya sukar dikawal dan akibatnya anda yang akan dimarahinya sepuas hati.

Tidak Pernah Puas

Betul atau tidak si dia individu seperti ini? Sudah tentu anda mengatakan “ya”. Si kaki cemburu tidak pernah berpuas hati dengan orang yang disayanginya. Ada sahaja kesalahan yang dicarinya. Dari sekecil-kecil zarah hinggalah sebesar-besar zarah. Susah betul anda nak puaskan hatinya. Kadangkala anda akan terfikir, kenapa si dia harus begini dan apakah salah anda? Sehinggakan pada satu tahap anda akan berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Namun setiap daripada kata-kata anda tidak diterimanya malah air mata menjadi peneman setia anda setiap hari.

Mengongkong

Aduhai, susahnya hidup, kalau tak ada kekasih anda mencarinya namun bila anda dah dapat lain pula yang jadi. bayangkanlah kehidupan anda saat ini telah berubah secara keseluruhannya. Dahulunya anda bebas ke sana ke mari dengan sesiapa sahaja yang anda suka tapi sekarang tidak lagi. Semua perkara yang anda lakukan perlulah mendapat kebenarannya terlebih dahulu. Anda tidak boleh melakukan sesuatu perkara itu tanpa pengetahuan sidia. Seolah-olah kehidupan anda berada di tangannya. Anda pula harus akur dengan peraturan yang diciptanya. Nak tak nak anda terpaksa ikut. Jadi fikir-fikirkanlah.

Mengambil Kesempatan

Ini memberi maksud si dia mengambil kesempatan di atas kelemahan anda. Memandangkan anda tidak pernah melawan, setiap daripada kata-katanya anda ikuti tanpa ada bantahan menyebabkan si dia menggunakan kesempatan itu. Setiap kali keluar, pasti si dia akan mengambil telefon bimbit anda dengan tujuan untuk melihat mesej-mesej yang boleh mengundang kemarahannya. Malah si dia akan mengambil tahu banyak perkara tentang anda. Si dia bijak bila mana kehormatan anda diragutnya dengan harapan anda tidak boleh lari dan terlepas daripadanya. 


Berwaspadalah jika mempunyai kekasih yang terlalu kuat cemburu. Masa bercinta pun pandai nak marah-marah, lepas kahwin apa pula nanti. Fikir-fikirkan lah... 


Sahabat Oh Sahabat


Kata orang 'mencari seorang sahabat yang baik lebih sukar daripada mencari 1000 orang musuh'. Sememangnya kenyataan ini benar kerana seorang sahabat yang baik akan sentiasa melindungi dan menjaga keharmonian sahabatnya dalam apa jua perkara, malah ada yang sanggup bergadai nyawa untuk sahabat. 

Bagaimanakah anda ingin memilih sahabat baik daripada kesemua sahabat yang anda ada? Ayuh ketahui ciri-ciri memilih dan membina jalinan persahabatan yang murni! 

KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting dalam sesebuah persahabatan. Ikatan persahabatan akan mudah rapuh sekiranya tidak wujud kecintaan di antara dua orang insan.

KASIH SAYANG lebih kurang sama maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat, kita perlulah mencurahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Ada ketikanya kasih sayang anda itu tidak perlu dipamerkan secara terang-terangan. Cukup sekiranya anda menunjukkan kasih sayang itu dengan mendoakan perkara-perkara yang baik untuk sahabat anda. 

KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan itu mendapat keberkatan dan rahmat daripada Ilahi. Sekiranya anda tidak ikhlas ketika bersahabat, ia boleh mengundang permusuhan di antara sahabat. Sebaiknya anda memilih sahabat berdasarkan budi pekertinya, rasa tanggungjawab, keprihatinan dan bukannya semata-mata kerana paras rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya. 

KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan lagi ikatan persahabatan walaupun anda jarang bertemu. Apabila anda setia terhadap sahabat, kesannya sahabat anda juga akan sentiasa mengingati apa jua pengorbanan yang telah anda curahkan kepadanya. Ini kerana anda sentiasa berada di sisinya tidak kira susah mahupun senang. 

KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam sesebuah persahabatan, anda hendaklah berani mengatakan sesuatu perkara kepada sahabat anda itu, apatah lagi tentang perkara-perkara yang boleh menyakiti hatinya. Anda hendaklah berani mengaku dan berterus-terang kepadanya atas kesilapan yang telah anda lakukan. Anda juga haruslah berani menasihati dan saling menegur sahabat anda itu. 

KEJUJURAN perlu dalam sesebuah persahabatan. Anda jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat anda itu. Dengan berkata benar dan jujur, ini akan mengukuhkan lagi tali persahabatan antara anda berdua. Anda hanya boleh berahsia pada perkara-perkara yang anda rasa perlu dirahsiakan daripadanya sahaja. 

KEMAAFAN merupakan perkara yang perlu ada dalam etika bersahabat. Sekiranya sahabat anda melakukan kesilapan, anda hendaklah bersedia untuk memaafkannya, tidak kiralah sama ada kesalahannya itu besar ataupun kecil terhadap anda. Sahabat yang baik ialah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya, begitulah sebaliknya. 

KESEDIHAN yang dihadapi oleh sahabat anda haruslah dikongsi bersama. Apabila anda mengetahui sahabat anda itu berada dalam keadaan yang berdukacita, anda sebagai sahabat hendaklah sentiasa berada di sisinya. Kehadiran anda itu sekurang-kurangnya dapat meringankan kesedihan yang ditanggungnya dan dalam masa yang sama ia boleh meringankan bebanan yang dipikulnya itu. 

KEGEMBIRAAN yang hadir dalam diri sahabat anda itu, memberi makna yang anda juga rasa gembira. Pasti anda rasa senang apabila melihat sahabat anda bergelak ketawa dan sentiasa mengukir senyuman yang indah pada raut wajah mereka. 

KESERASIAN merujuk pada kesamaan mahupun ‘sekepala’ dalam apa jua yang anda dan sahabat lakukan bersama. Dengan wujudnya keserasian ini, aktiviti yang anda lakukan bersama akan menjadi lebih mudah dan lancar. Malah keserasian ini akan mewujudkan persefahaman antara anda dan sahabat.

Dalam persahabatan, jangan pernah ada pengkhianatan...


Indahnya Cinta...


Sejak pertama kali ku melihat dirimu… 

Aku telah jatuh cinta padamu…

Aku tahu ini adalah takdir…

Kau dan aku sememangnya diciptakan untuk bersama…

Dan tidak ada yang akan memisahkan kita…


Indahnya Cinta...



Cintailah insan yang kamu kasihi sekadarnya… 

Mungkin saja dia akan menjadi orang yang kamu benci suatu hari nanti... 

Bencilah terhadap orang yang kamu benci itu sekadarnya… 

Barangkali dia akan menjadi orang yang kamu kasihi suatu hari nanti... 

Lumrah dunia… 

Cinta bukan selamanya cinta… 

Dan benci juga bukan selamanya benci…


Indahnya Cinta...


Cintailah aku seperti aku mencintai dirimu… 

Sepenuh hati, tanpa paksaan dan tanpa kecurigaan… 

Cinta aku pada dirimu adalah cinta yang tulus dari dalam hati…


Ahad, 8 Julai 2012

10 Penyakit Sering Di Hadapi Lelaki


Seperti wanita yang mempunyai beberapa penyakit yang sinonim dengan mereka, kaum lelaki tidak terlepas daripada beberapa penyakit yang sering dihidapi mereka. Penyakit-penyakit ini kesemuanya bersifat kritikal dan boleh membawa maut namun malangnya sering dipandang remeh oleh kaum ini.

Sakit Jantung

Digambarkan sebagai rasa sakit yang amat sangat di bahagian dada secara berterusan sehingga setengah jam, menjalar ke arah tangan kiri dan rahang. Pesakit akan mengalami kesukaran bernafas dan perasaan takut yang keterlaluan.

Apabila saluran darah pada otot jantung tersumbat, risiko kematian boleh berlaku. Punca berlakunya penyakit sakit jantung adalah asap rokok, tekanan perasaan, kandungan lemak yang tinggi,kurang bersenam,darah tinggi dan kencing manis.

Penyakit Sekatan Pernafasan Kronik (COPD)

COPD ialah gangguan pernafasan kronik yang secara beransur-ansur menjejaskan fungsi paru-paru dan mengehadkan aliran udara. Penyebab utama penyakit ini adalah tabiat merokok.

Kencing Manis

Juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Ia disebabkan ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin (suatu hormon yang dihasilkan oleh pankreas). Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbo hidrat, lemak dan protein. la bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Antara penyebab penyakit adalah faktor genetik, obesiti, kerap mengambil makanan atau minuman yang mempunyai kadar gula yang tinggi dan yang mempunyai radang pada pankreas.

Strok

Strok merupakan sejenis penyakit otak yang sering berlaku secara tiba-tiba. Biasanya ia disebabkan oleh saluran darah yang tersumbat atau pecah. Strok terjadi disebabkan faktor usia terutamanya pada lelaki yang usianya melebihi 55 tahun, jantina (lelaki lebih cenderung mendapat strok), diabetes, genetik, darah tinggi, penyakit jantung, kiraan sel darah merah yang tinggi dan merokok.

Kanser Pankreas

Pankreas adalah kelenjar yang menghasilkan insulin, hormon dan jus-jus penghadam makanan. Kanser pankreas bermula daripada lapisan duktus kemudian merebak ke limpa, hati, paru-paru dan peritoneum. Penyebab kanser pankreas adalah faktor pemakanan seperti pengam bilan gula dan kopi dalam kekerapan serta kuantiti yang tinggi, diabetes dan merokok.

Kanser Prostat

Kanser prostat merupakan ketumbuhan sel-sel tidak normal yang berlaku di dalam kelenjar prostat (kelenjar yang mengelilingi uretra dan terletak di bawah pundi kencing lelaki). Kanser ini terjadi kebanyakannya disebabkan oleh hormon lelaki iaitu testosteron.

Tekanan darah tinggi

Penyakit yang turut dikenali sebagai hiper tensi ini merupakan tekanan yang dihasilkan oleh darah ke atas dinding arteri semasa jantung mengepam darah. Punca berlakunya tekanan darah tinggi adalah pengambilan makanan yang tinggi lemak dan garam, merokok, alkohol, kurang bersenam dan tekanan perasaan.

Batu karang

Air kencing mengandungi garam galian yang telah hancur. Jika garam ini terlalu pekat, garam berlebihan akan bertukar menjadi keras dan dinamakan batu karang atau Gallstone. Batu karang terjadi disebabkan kurang minum air, suka menahan dari membuang air kecil, genetik, faktor umur,kesan sampingan ubat, kurang ber senam, dan tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Obesiti

Obesiti didefinisikan sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak. Penyebabnya adalah faktor genetik, kurang bersenam, tidak meng amalkan pemakanan yang sihat, pengambilan makanan yang berlebihan, penyakit-penyakit metabolisme endokrin dan sindrom metabolik.

Gout

Gout terjadi disebabkan oleh peningka tan paras darah beku di dalam arteri, kimia yang dikenali sebagai asid urik di dalam darah yang boleh membentuk hablur atau kristal. Gout terjadi disebabkan pengambilan maka nan yang mengandungi banyak nukleus (daging, ginjal,limpa, jantung), kekacang dan makanan laut (kerang, udang, sotong dan sebagainya). Gout juga terjadi pada lelaki yang menghidap penyakit darah yang berlebihan (polycythaemia rubra vera, anemia hemolitik dan leukemia). Selain itu cuaca yang terlalu sejuk, pengambilan ubat bagi penyakit tertentu dan kelesuan turut menyumbang kepada berlakunya gout.

Jagalah kesihatan anda sebelum terlambat